Tuesday, May 16, 2006

Apalah Salah PTD - samb. 6

Saya langsung tidak berniat untuk berprasangka buruk terhadap golongan profesional. Cuma apa yang saya harapkan, andaikata wujud sebarang ketidakpuasan hati terhadap struktur jentera kerajaan pada hari ini, perasaan sedemikian seharusnya dibawa berunding secara berhemah daripada menghangatkannya di dada akhbar, apatah lagi dengan tuduhan yang tidak adil atau saksama.

Kesimpulannya, seseorang KSU kementerian dipilih berdasarkan fakta bahawa mereka sudah begitu mahir dan faham akan skop pentadbiran kementerian secara menyeluruh di samping pengalaman luas mereka selama bekerja dengan kementerian di bahagian-bahagian berbeza, dan PTD sememangnya dilatih ke arah memenuhi aspirasi tersebut. Dan bukanlah salah PTD yang memegang jawatan KSU sehingga menyebabkan kegagalan pelaksanaan sesetengah projek.

Ghiyathuddin,
Putrajaya
Apalah Salah PTD - samb. 5
Injiner Kampung dan Ir. Dr. Who dan sesiapa jua sepatutnya sudah sedia maklum bahawa ketua sebenar bagi sesebuah kementerian bukannya KSU tetapi adalah Menteri yang dibantu oleh seorang ataupun dua Timbalan Menteri dan seorang Setiausaha Parlimen. Dalam carta organisasi, hierarki KSU hanyalah selepas mereka di atas. Jikalaulah Injiner Kampung dan Ir. Dr. Who menghujahkan bahawa jawatan KSU mesti diisi oleh profesional agar pengurusan projek di negara kita menjadi lebih efisien lagi, maka Injiner Kampung dan Ir. Dr. Who patut menghujahkan juga bahawa jawatan Menteri, Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen mesti turut diisi oleh golongan profesional. Tetapi, bukankah itu tidak bijak, tidak adil? Apatah lagi jika ada yang cuba mencari "scapegoat" bagi projek-projek bermasalah. Bukan KSU sahaja, jurutera, arkitek, juruukur bahan, jururunding, kontraktor dan ramai pihak lagi dari sektor kerajaan dan swasta yang turut terlibat dan bertanggungjawab atas jaya gagal sesuatu projek. Jawatankuasa yang dilantik untuk memantau pelaksanaan sesuatu projek juga dianggotai oleh jurutera, juruukur dan golongan profesional berkaitan yang bertanggungjawab memberi pandangan dan nasihat daripada aspek teknikal. Perlu diingat, "It takes two to tango".
Apalah Salah PTD - samb. 4

Saya tidak menolak kemungkinan golongan profesional diberi amanah menjadi KSU sesuatu kementerian asalkan itulah jalan terbaik. Tetapi persoalannya, adakah cukup kepakaran dalam satu bidang khusus sahaja untuk melayakkan seseorang menjadi KSU? Amat membimbangkan, apabila jurutera menuntut hak menjadi KSU atas alasan dia mempunyai kepakaran teknikal, bukankah ini sama seperti mengatakan kementerian tidak memerlukan kepakaran dalam bidang kewangan, pengurusan sumber manusia dan perancangan ekonomi misalnya dalam urusan pentadbiran? Lama-kelamaan, akauntan, arkitek, doktor, juruukur bahan, perancang bandar, peguam dan semua yang ada akan berebut-rebut memperjuangkan hasrat menjadi KSU. Akibatnya, lebih membimbangkan, seruan YAB Perdana Menteri kita melalui perancangan kerajaan untuk menjadikan sektor swasta sebagai "the engine of growth" akan menjadi kenangan sahaja kerana semua golongan profesional ingin menjadi pentadbir di kementerian dan jabatan kerajaan sehinggakan segala kepakaran mereka tidak disalurkan ke tempat yang sepatutnya.
Apalah Salah PTD - samb. 3
PTD sebagai KSU sebenarnya memberi kelebihan kepada kementerian yang diterajuinya. Setiap kementerian sentiasa bekerjasama malah bergantung antara satu sama lain. Untuk itu, jaringankerja antara PTD sebagai KSU sebuah kementerian dengan PTD sebagai KSU kementerian lain sudah tentu dapat memudahkan urusan kerja kerana PTD amat saling kenal mengenali kerana biasa menjalani kursus bersama, ada yang dilantik pada masa yang sama malah ada yang pernah menjadi teman sebilik. PTD juga dipayungi oleh Persatuan PTD yang sentiasa berusaha mengeratkan semua PTD, dan anak isteri, melalui aktiviti-aktiviti melangkaui sempadan pejabat.
Sebenarnya, sudah banyak jabatan kerajaan sekarang diketuai oleh golongan profesional. Sebagai contoh, Pengarah Kesihatan peringkat pusat dan negeri adalah seorang doktor perubatan, Pengarah JKR dan JPS peringkat pusat dan negeri adalah seorang jurutera, dan Ketua Pengarah Jabatan Lanskap Negara merupakan perancang bandar profesional. Dan senarai ini berterusan.
Apalah Salah PTD - samb. 2

Malahan, barisan PTD yang ada dalam perkhidmatan awam sebenarnya terdiri daripada pelbagai bidang dan jurusan seperti yang telah saya nyatakan tadi dan ini mengimbangi keperluan pengetahuan teknikal dalam sesetengah kementerian ataupun jabatan kerajaan. Dan ada di antaranya yang memiliki ijazah kelas pertama. Sekarang, calon-calon yang memiliki ijazah Sarjana diberi keutamaan untuk dipilih. Jadi, isu bahawa PTD bukan "creme de la creme" sepertimana rakan-rakan daripada golongan profesional tidak langsung menjadi isu dan ia dibangkitkan di luar konteks.
Sekadar berkongsi pengetahuan, Katsuaki Watanabe, lahir pada 1942, adalah Presiden Toyota Motor Corporation. Beliau yang merupakan graduan dari Keio University dengan Sarjana Muda Ekonomi dalam tahun 1964 telah bekerja untuk Toyota selama 41 tahun, sehingga menjadi Presiden menggantikan Fujio Cho, dan telah disenaraikan antara "TIME magazine's 100 most influential people of 2005". Rick Wagoner, Pengerusi General Motors (GM), telah menerima Sarjana Muda Ekonomi dalam tahun 1975 dari Duke University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Harvard Business School dua tahun berikutnya, sebelum terus bekerja di GM sehingga menjadi Pengerusi hari ini. Toyota Motor Corporation dan GM merupakan dua syarikat automotif gergasi dunia yang berjaya menghasilkan poduk automotif menerusi kepakaran kejuruteraan automotif berteknologi tinggi. Namun, Presiden dan Pengerusi masing-masing tidak mempunyai kepakaran teknikal di bidang kejuruteraan automotif, tetapi dipilih kerana mereka sudah begitu mahir dan faham akan skop pentadbiran organisasi secara menyeluruh di samping pengalaman luas mereka selama bekerja dengan syarikat masing-masing.
Apalah Salah PTD - samb.

Bukan berniat menyebelahi PTD, adalah diterima umum bahawa PTD yang kini menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah dilatih selama setahun melalui latihan formal di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) seterusnya menimba pengalaman demi pengalaman "realtime on-the-job-training " selama berpuluh tahun di pelbagai bidang pentadbiran kerajaan seperti perolehan kerajaan, kewangan, perancangan ekonomi, pembangunan, tanah, pengurusan projek, sumber manusia, hubungan antarabangsa, latihan dan lain-lain lagi di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, yang tidak mungkin dapat dikuasai secara "overnight" apabila dilantik menjadi KSU. KSU yang menerajui kementerian hari ini bukannya menjadi PTD semalam mahupun tahun lepas; mereka telah melalui latihan dan pengalaman berpuluh tahun yang diperlukan untuk menjadi KSU ataupun menjawat JUSA.

Dari dahulu sehingga sekarang, pengambilan PTD yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak menetapkan pemohon yang memiliki ijazah tertentu, baik teknikal, pengurusan ataupun sastera, diberi keutamaan dalam kriteria pemilihan PTD. Tidak kira sama ada calon memiliki ijazah sains, perakaunan, undang-undang, seni bina, kewangan, kejuruteraan, pengurusan perniagaan, ekonomi, usuluddin ataupun mana-mana ijazah yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang penting adalah kualiti kepimpinan, sikap, kejujuran, kemahiran berucap dan berkomunikasi, personaliti, daya toleransi tinggi dan lain-lain lagi, dan kriteria ini di samping segulung ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya menjadi penentu seseorang calon itu berjaya atau tidak menjadi PTD. Tiada gunanya seorang dengan segulung ijazah kejuruteraan sahaja tanpa memiliki kualiti kepimpinan, sikap, kejujuran, kemahiran berucap dan berkomunikasi, personaliti dan daya toleransi tinggi dipilih menjadi PTD. Sebaliknya, jikalau dia memiliki ijazah kejuruteraan dan terampil dengan ciri-ciri di atas, pintu Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik sentiasa terbuka untuknya.
Apalah Salah PTD

Saya ingin mencadangkan agar Injiner Kampung dan Ir. Dr. Who membuat kajian terperinci terlebih dahulu sebelum melontarkan tuduhan melulu kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) khususnya yang mengepalai kementerian sebagai Ketua Setiausaha Kementerian (KSU) atas masalah-masalah yang dihadapi dalam pengurusan projek di negara ini.

Hakikat yang perlu diterima semua dengan hati terbuka adalah bahawa mengetuai sesuatu kementerian atau jabatan kerajaan memerlukan seseorang itu mengetahui skop pentadbiran organisasi yang amat luas, bukan setakat unik kepada kepakaran tertentu sahaja. Jikalau seorang jurutera mahu dipilih menjadi KSU kerana dia pakar dalam bidang kejuruteraan selama bertahun-tahun, apakah dia layak dipilih jikalau dia tidak mempunyai pengalaman dalam skop-skop pentadbiran, misalnya mentadbir kewangan kerajaan dan mengurus sumber manusia? Dan dalam era globalisasi masa kini yang melihat Malaysia terlibat dalam rundingan-rundingan perdagangan duahala dan pelbagaihala dengan ketua-ketua setiausaha mengetuai kementerian masing-masing yang turut terlibat dari awal lagi dalam rundingan-rundingan tersebut melalui proses berterusan yang bukannya "one-off", dapatkah seorang yang hanya pakar dalam bidang kejuruteraan membuat keputusan terbaik dalam rundingan meliberalisasikan sektor-sektor penting dan kritikal kepada negara dan rakyat seperti perolehan kerajaan, kewangan, dan pendidikan?