Tuesday, May 16, 2006

Apalah Salah PTD - samb. 2

Malahan, barisan PTD yang ada dalam perkhidmatan awam sebenarnya terdiri daripada pelbagai bidang dan jurusan seperti yang telah saya nyatakan tadi dan ini mengimbangi keperluan pengetahuan teknikal dalam sesetengah kementerian ataupun jabatan kerajaan. Dan ada di antaranya yang memiliki ijazah kelas pertama. Sekarang, calon-calon yang memiliki ijazah Sarjana diberi keutamaan untuk dipilih. Jadi, isu bahawa PTD bukan "creme de la creme" sepertimana rakan-rakan daripada golongan profesional tidak langsung menjadi isu dan ia dibangkitkan di luar konteks.
Sekadar berkongsi pengetahuan, Katsuaki Watanabe, lahir pada 1942, adalah Presiden Toyota Motor Corporation. Beliau yang merupakan graduan dari Keio University dengan Sarjana Muda Ekonomi dalam tahun 1964 telah bekerja untuk Toyota selama 41 tahun, sehingga menjadi Presiden menggantikan Fujio Cho, dan telah disenaraikan antara "TIME magazine's 100 most influential people of 2005". Rick Wagoner, Pengerusi General Motors (GM), telah menerima Sarjana Muda Ekonomi dalam tahun 1975 dari Duke University dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Harvard Business School dua tahun berikutnya, sebelum terus bekerja di GM sehingga menjadi Pengerusi hari ini. Toyota Motor Corporation dan GM merupakan dua syarikat automotif gergasi dunia yang berjaya menghasilkan poduk automotif menerusi kepakaran kejuruteraan automotif berteknologi tinggi. Namun, Presiden dan Pengerusi masing-masing tidak mempunyai kepakaran teknikal di bidang kejuruteraan automotif, tetapi dipilih kerana mereka sudah begitu mahir dan faham akan skop pentadbiran organisasi secara menyeluruh di samping pengalaman luas mereka selama bekerja dengan syarikat masing-masing.

No comments: