Tuesday, May 16, 2006

Apalah Salah PTD - samb.

Bukan berniat menyebelahi PTD, adalah diterima umum bahawa PTD yang kini menjawat Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) telah dilatih selama setahun melalui latihan formal di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) seterusnya menimba pengalaman demi pengalaman "realtime on-the-job-training " selama berpuluh tahun di pelbagai bidang pentadbiran kerajaan seperti perolehan kerajaan, kewangan, perancangan ekonomi, pembangunan, tanah, pengurusan projek, sumber manusia, hubungan antarabangsa, latihan dan lain-lain lagi di pelbagai kementerian dan jabatan kerajaan, yang tidak mungkin dapat dikuasai secara "overnight" apabila dilantik menjadi KSU. KSU yang menerajui kementerian hari ini bukannya menjadi PTD semalam mahupun tahun lepas; mereka telah melalui latihan dan pengalaman berpuluh tahun yang diperlukan untuk menjadi KSU ataupun menjawat JUSA.

Dari dahulu sehingga sekarang, pengambilan PTD yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) tidak menetapkan pemohon yang memiliki ijazah tertentu, baik teknikal, pengurusan ataupun sastera, diberi keutamaan dalam kriteria pemilihan PTD. Tidak kira sama ada calon memiliki ijazah sains, perakaunan, undang-undang, seni bina, kewangan, kejuruteraan, pengurusan perniagaan, ekonomi, usuluddin ataupun mana-mana ijazah yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang penting adalah kualiti kepimpinan, sikap, kejujuran, kemahiran berucap dan berkomunikasi, personaliti, daya toleransi tinggi dan lain-lain lagi, dan kriteria ini di samping segulung ijazah sarjana muda sekurang-kurangnya menjadi penentu seseorang calon itu berjaya atau tidak menjadi PTD. Tiada gunanya seorang dengan segulung ijazah kejuruteraan sahaja tanpa memiliki kualiti kepimpinan, sikap, kejujuran, kemahiran berucap dan berkomunikasi, personaliti dan daya toleransi tinggi dipilih menjadi PTD. Sebaliknya, jikalau dia memiliki ijazah kejuruteraan dan terampil dengan ciri-ciri di atas, pintu Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik sentiasa terbuka untuknya.

No comments: